KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengalu-alukan kunjungan rombongan dari Tilling Timber Pte. Ltd, dan Woodsfield dari Australia di pejabatnya di Wisma Sumber Alam di sini.
Rombongan Tilling Timber diketuai Pengarah Urusannya, Glenn Tilling, manakala Woodsfield diketuai Pengarah Urusan, Eddie Ling.
Lawatan rombongan itu ke Sarawak bertujuan mencari pembekal produk kayu kejuruteraan dari Sarawak. Pilihan itu termasuk mewujudkan usaha sama dengan pelabur tempatan menanam kayu kejuruteraan untuk menghasil glulam dan papan lapis venir menggunakan acacia dari peladangan hutan.
Tilling Timber adalah pemborong terbesar produk kayu kejuruteraan di Australia. Kayu itu sangat popular sebagai bahan binaan bagi pembinaan rumah di Australia.
Sehubungan itu, Awang Tengah berharap Tilling Timber menimbang untuk melabur dalam produk berasaskan kayu kejuruteraan di Sarawak
Projek yang dicadangkan itu sejajar dengan transformasi industri perkayuan Kerajaan Sarawak dan memperkenalkan inisiatif menggalakkan pengeluaran produk kayu bernilai menggunakan spesies kayu dari peladangan hutan.
Beliau menggesa Perbadanan Pembangunan Industri Kayu Sarawak (STIDC) supaya merumuskan usaha sama itu dengan Tilling Timber dan Woodsfield dalam usaha menghasil produk kayu kejuruteraan bagi pasaran eksport yang boleh digunakan untuk komponen bahan binaan.
Beliau turut menjelaskan betapa perlunya entiti usaha sama itu melabur dalam teknologi pengilangan untuk meningkatkan produktiviti dan menghasil produk bertaraf global, semasa kunjungan itu.
Hadir sama Pemangku Setiausaha tetap MINTRED, Dzulkornain Masron dan Pengurus Besar STIDC, Datu Hashim Bojet.
Sumber dari : Jiwa Bakti